GERIK – Rakaman video memaparkan seekor gajah betina cuba ‘menolak’ sebuah lori yang dipercayai melanggar mati seekor anak gajah di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini hari ini, mengundang reaksi sebak orang ramai.
Video berdurasi satu minit 11 saat yang tular di media sosial itu menunjukkan kemalangan membabitkan lori muatan ayam di mana seekor anak gajah terperosok di bawah kenderaan tersebut.
Difahamkan, nahas yang berlaku sekitar pukul 2 pagi itu tidak menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
Seorang pengguna media sosial dengan nama akaun Awie Azim berkata, pengguna jalan raya perlu memandu dengan berhati-hati ketika menggunakan laluan di kawasan berkenaan.
“Tolong bawa dengan cermat di laluan ini, mereka juga ada hak untuk di lindungi. Tindakan ibu gajah yang cuba menolak lori itu diumpamakan sebagai kasih sayang seorang ibu.
“Itulah hati sorang ibu. Walaupun dia binatang tapi hati ibu tetap sama seperti manusia. Sabar Jah semoga dipertemukan semula anakmu di syurga nanti. Aamiin Ya Rabbal Alamin,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 3.30 pagi.
Katanya, kejadian membabitkan seekor anak gajah jantan dianggarkan berusia lima tahun yang mati selepas dipercayai dilanggar sebuah lori ketika melintas jalan.
“Kakitangan Perhilitan telah ke lokasi kejadian bagi membuat pemantauan. Operasi sedang dijalankan bagi menangkap ibu gajah terlebih dahulu untuk dialihkan dari lokasi kejadian. Karkas anak gajah yang dibawa keluar dari bawah lori itu akan dilupuskan dengan kaedah tanam,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@jebat_liar_888 anak gajah dok bawah lori..xtau mati ke x#fyp #viral #malaysia ♬ suara asli – milenia – ulinnuha