BALING – Sepasukan anggota bomba bertindak menangkap seekor ular sawa batik yang hampir menelan seekor kambing boer di Kampung Mengkuang Hujung, Kuala Pegang, di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada penduduk kampung kira-kira pukul 10.37 malam.
“Sebaik tiba di tempat kejadian didapati ular sawa batik itu masih berada di dalam kandang yang di dalamnya terdapat 15 ekor kambing.
“Ular sawa itu telah membelit seekor kambing jenis boer dan cuba menelannya. Meskipun kambing itu bersaiz besar, namun ia mampu menelannya tetapi tidak sempat berbuat demikian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, ular sawa itu dipercayai lapar dan telah membelit kambing sehingga mati dan bertindak agresif ketika anggota cuba menangkap reptilia tersebut.
“Anggota menggunakan kepakaran dan peralatan khas untuk menangkap ular sawa batik sepanjang kira-kira enam meter dan berat 50 kilogram itu.
“Kita mengambil masa hampir 15 minit untuk menangkap ular sawa tersebut dan disebabkan saiz agak besar, ia terpaksa diangkat oleh empat anggota untuk dimasukkan ke dalam guni,” ujarnya.
Tambahnya, haiwan itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Ular sawa itu dipercayai keluar untuk mencari sumber makanan dan perlindungan di kawasan kandang kambing disebabkan cuaca tidak menentu ketika ini iaitu hujan dan lembap, selain lokasi kandang di hujung kampung dan berbukit,”jelasnya. – KOSMO! ONLINE