LONDON – Penduduk Manchester, Britain digemparkan dengan kemunculan fenomena menyerupai puting beliung debu setinggi 30 meter yang melanda pusat bandar tersebut semalam, lapor akhbar Metro UK.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan pusaran angin gergasi itu bergerak laju di tepi sebatang jalan, menyebabkan beberapa kereta terpaksa berhenti.
Pemain biola bernama Adam Riding yang menyaksikan kejadian selama seminit itu berkata: “Saya melihat awan gelap dan menjangkakan ia adalah letupan tetapi saya tidak mendengar sebarang dentuman.
“Ia adalah pengalaman yang menakjubkan. Saya tidak pernah melihat perkara seperti itu.”
Pusaran itu kemudian disahkan bukan puting beliung, sebaliknya fenomena dikenali sebagai ‘syaitan debu’ atau ‘dust devil’.
Seorang ahli meteorologi mengesahkan bahawa fenomena itu terbentuk akibat ketidaktentuan suhu pada permukaan berbeza di sekelilingnya sekali gus mencetuskan putaran udara apabila terdapat habuk dan serpihan. – AGENSI