fbpx

Saya bukan kejar kesenangan, tapi kejayaan – Faisal Halim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAISAL bercakap kepada wartawan ketika ditemui sempena penganjuran Kejohanan Terbuka U12 Piala Faisal Halim 2025 di Mengkuang Titi, Bukit Mertajam semalam.

SEBERANG PERAI – Bintang bola sepak Selangor FC, Faisal Halim mengakui fokus kehidupannya kini adalah kepada karier bola sepak dan keluarga sekali pun masih dibelenggu mimpi ngeri di sebalik kes simbah asid yang berlaku pada 5 Mei tahun lalu.

Malah, Faisal atau lebih mesra disapa Mickey itu juga seolah-olah pasrah dengan keputusan Jabatan Peguam Negara yang mengklasifikasi kes sera­ngan asid ke atasnya sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Katanya, sekalipun tragedi hitam itu sudah setahun berlalu, namun sehingga saat ini dia masih tertanya-tanya sama ada dirinya sudah dapat menerima hakikat sebenar yang berlaku atau sebaliknya.

“Sebagai mangsa, sudah tentu saya kecewa. Kalau ada yang tidak kena dengan saya, beritahu saja dan jangan aniaya saya. Saya tidak ada salah atau silap de­ngan siapa-siapa.

“Saya ada keluarga untuk ditanggung, karier (bola sepak) yang saya kejar dari kecil,” katanya kepada pemberita ketika ditemui Pada Kejohanan Terbuka U12 Piala Faisal Halim 2025 di sini semalam.

Menurut anak kelahiran Mengkuang Titi itu, dia kini hanya mahu memberi tumpuan terhadap karier bola sepak dan kembali meneruskan kehidupannya seperti biasa.

“Benda pun dah lepas, saya berharap sangat berilah saya peluang kembali dalam bola sepak. Saya hanya mahu fokus kerjaya saya dan tak nak fikir lagi pasal kes, pasal NFA. Itu terpulang, dan semua tanggungjawab kepada pihak atasan, pihak polis.

“Daripada pihak saya, saya pun tidak tahu, saya tidak pasti sama ada boleh terima dengan keadaan sekarang atau tidak.

“Saya orang kampung dan rumah saya di sini. Macam mana saya susah di kampung sehingga saya menjadi seorang pemain bola sepak. Ini bukan untuk mengejar kesenangan semata-mata, tetapi mengejar kejayaan untuk menjadi pemain terbaik,” jelasnya.

Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan mengenai rasa kecewa Faisal dengan keputusan Jabatan Peguam Negara yang mengklasifikasi kes serangan simbah asid ke atasnya pada 5 Mei tahun lalu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Peguam yang mewakili Faisal, Nik Zarith Nik Moustpha berkata, anak guamnya juga sukar untuk menerima keputusan tersebut memandangkan tragedi hitam itu hampir meragut nyawa dan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

“Selepas mengetahui status kes berkenaan, Faisal selaku anak guam kami jelas kecewa dengan keputusan siasatan tetapi faham dengan situasi semasa.

“Kita ada undang-undang dan dia ada hak sebagai warganegara. Dalam konteks ini, pihak berkuasa adalah Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Kita juga telah berbincang dengan Faisal untuk tentukan langkah seterusnya yang boleh diambil memandangkan dia adalah mangsa dalam kes ini,” kata Nik Zarith pada sidang media di sini semalam.

Susulan keputusan itu, Nik Zarith berkata, surat permohonan kepada AGC telah dihantar pada 18 April selepas berbincang bersama Faisal untuk langkah seterusnya.

“Setakat ini, surat yang dihantar kepada AGC agar siasatan dibuka semula (pada 18 April), tetapi buat masa ini masih tiada sebarang maklum balas,” kata­nya.

Mohd. Haijan pula memaklumkan, keadilan wajar diberikan kepada Faisal dan keputusan mengklasifikasi kes tersebut sebagai NFA adalah terlalu awal.

Sebagai rekod, Faisal menjadi mangsa simbah asid pada 5 Mei tahun lalu oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya sehingga disahkan melecur tahap empat.

Namun, Faisal berjaya bangkit selepas menjalani beberapa siri pembedahan sebelum membuat kemunculan semula di atas padang bersama Gergasi Merah pada Ogos lepas.

Malah, Faisal turut dipanggil skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal, Mac lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI