MIAMI – Walaupun tidak beraksi musim ini, nama Sergio Perez terus menjadi perhatian apabila beberapa pasukan ternama Formula Satu (F1) dilaporkan berminat mendapatkan khidmat pelumba berpengalaman dari Mexico itu bagi kempen 2026.
Bekas pemandu Red Bull itu dilaporkan telah melakukan pertemuan dengan beberapa pasukan, malah turut berjaya menarik minat Alpine menjelang perlumbaan musim depan.
Meskipun sedang berehat daripada perlumbaan selepas kehilangan tempat di Red Bull pada penghujung musim lalu, Perez sebelum ini pernah menyatakan kesediaan untuk kembali ke kancah F1 sekiranya ditawarkan projek yang mampu memberikannya motivasi.
Situasi Alpine kini membuka peluang kepada Perez apabila pasukan tersebut membuat keputusan mengejut dengan merehatkan Jack Doohan bagi lima perlumbaan dan digantikan dengan pelumba Argentina berusia 21 tahun, Franco Colapinto untuk dinilai.
Menurut laporan antarabangsa, Perez telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pasukan Alpine, Flavio Briatore ketika Grand Prix (GP) Miami hujung minggu lalu untuk membincangkan kemungkinan menyertai pasukan pengeluar dari Perancis itu.
Selain Alpine, Perez turut dikatakan dalam rundingan lanjut bersama pasukan baharu dari Amerika Syarikat, Cadillac yang bakal menyertai F1 pada musim 2026.
Mercedes juga dilaporkan menunjukkan minat terhadap Perez, namun kemasukannya hanya dapat direalisasikan jika berlaku perubahan dalam barisan pemandu termasuk kemungkinan menggugurkan George Russell.
Buat masa ini, Cadillac kekal sebagai calon relevan buat Perez berikutan pengalamannya dalam pembangunan jentera serta populariti yang dimilikinya, namun sehingga kini tiada kontrak rasmi ditandatangani dengan mana-mana pasukan. – AGENSI