fbpx

Penduduk Kedah turut rasa gegaran susulan gempa di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Sebahagian penduduk di negeri ini turut merasai gegaran susulan gempa bumi di Utara Sumatera, Indonesia kira-kira pukul 5 petang tadi.

Penduduk dari Kulim, dekat sini Azahar Hashim, 55, berkata, gegaran itu dirasai ketika dia sedang berehat di atas sofa sambil menonton televisyen.

“Saya juga nampak televisyen di atas kabinet seperti bergegar dan tanya isteri sama ada dia ada rasa gegaran, namun dia tidak merasainya.

“Dalam hati berkata mungkin ada gempa bumi dan selepas kejadian itu minta isteri semak laman web Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), ternyata ada gempa di Indonesia,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, ia merupakan kali kedua dia dapat merasai gegaran akibat gempa dengan kali pertama ketika tragedi tsunami sebelum ini.

“Ada kawan yang tinggal di perumahan lain beritahu pada awalnya menyangka dia pening akibat tekanan darah naik, rupa-rupanya gegaran akibat gempa bumi,” ujarnya.

Penduduk Kepala Batas, di sini Samihah Azli, 33, berkata, dia dapat merasakan keretanya bergoyang beberapa saat ketika berada di kawasan letak kenderaan sebuah restoran.

“Waktu itu saya ingat bergegar sebab kenderaan berat lalu kawasan ini tetapi gegarannya agak pelik. Selepas itu baru saya tahu gegaran itu disebabkan gempa bumi di Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah setakat ini tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan gegaran dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia petang ini susulan kejadian gempa bumi sederhana yang berlaku di Utara Sumatera, Indonesia.

MetMalaysia menerusi Facebook, gempa bumi dengan kekuatan magnitud 5.9 itu berlaku pada pukul 4.57 petang dengan kedalaman 74 kilometer. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI