KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta pemilik kelab bola sepak bersikap ‘anak jantan’ untuk melepaskan pasukan masing-masing kepada pihak yang berminat untuk mengekalkan pasukan dalam peta bola sepak Malaysia.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak bersikap ego enggan melepaskan pegangan saham kelab hingga sanggup menguburkan sesebuah pasukan hanya kerana tidak lagi mampu menampung perbelanjaan.
“Seperti saya nyatakan, kalau mereka tidak mampu, mungkin boleh bagi kepada orang lain yang berminat untuk menjaga kelab-kelab tersebut.
“Untuk pihak kerajaan, memang apa yang boleh dilakukan telah pun dilakukan untuk memberi sokongan kepada bola sepak,” katanya.
Ketika ini, Perak FC sudah menyatakan pendirian untuk tidak meneruskan saingan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), manakala Sri Pahang FC juga dilaporkan mungkin mengambil keputusan sama.
Kosmo! hari ini melaporkan sumber rapat Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) mendakwa Tok Gajah masing ‘bernyawa’ dan terbuka untuk beraksi di Liga M sekiranya berjaya mendapat pihak baharu yang berminat untuk mentadbir urus pasukan dalam masa terdekat.
Dalam masa sama, Hannah menjelaskan adalah menjadi impian beliau untuk melihat atlet negara memiliki pelajaran lebih baik bagi menjamin masa depan yang lebih cerah sekiranya berdepan sebarang masalah dalam sukan diceburi.
“Saya bercakap mengenai sekarang, hasrat saya untuk semua atlet adalah kalau boleh nak mereka teruskan pelajaran. Ada ramai yang kata (mahu) bersukan, tidak mahu teruskan pendidikan tinggi tetapi kita nak (atlet) ada jaminan masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE