MARAN – Seorang penyelia ladang melalui detik mencemaskan apabila diikat dan disamun sekumpulan lelaki bersenjatakan parang ketika berada di rumahnya di Felda Jengka 8 di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu itu mangsa mengalami kerugian sebanyak RM16,000 selepas barang kemas, telefon, kereta dan sejumlah wang tunai dilarikan suspek.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, berdasarkan laporan polis semasa kejadian mangsa yang berumur 34 tahun berada di rumahnya di Felda Jengka 8 di sini seorang diri.
Katanya, mangsa telah pergi ke dapur dan semasa membuka lampu terdapat dua lelaki bertopeng sedang memegang pisau dan satu objek yang dibalut dengan kain.
“Mangsa tidak melawan kerana diancam akan ditikam jika membuat sebarang tindakan dan suspek mengikat tangan mangsa menggunakan tali dan kaki mangsa diikat menggunakan tali pinggang.
“Seorang suspek meletakkan objek yang dibalut kain di kepala mangsa dan telah mengambil beg mangsa yang mengandungi duit berjumlah RM1000, kad Maybank, barang kemas anggaran 20 gram (loket dan rantai) serta sebuah telefon berjenama Realme,”katanya di sini hari ini.
Tambahnya, selepas mengambil semua barang berkenaan suspek terus melarikan diri menggunakan kereta milik mangsa dan mangsa kemudiannya berjaya melepaskan ikatan pada tangan dan kaki dan meminta bantuan orang kampung.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan polis sedang giat mengesan suspek.
Katanya, polis turut merampas pisau jenama kiwi, tali pinggang, puntung rokok dan sehelai baju bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE