MUKAH – Kebakaran sebuah ladang rumbia di sini sejak Jumaat lalu semakin merebak dengan status kebakaran setakat tengah malam tadi dianggarkan seluas 300 hektar.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah masih melakukan pemantauan kebakaran serta tiupan angin dan tindakan menasihati penduduk kampung terutama ketua kaum untuk menghubungi segera bomba jika keadaan semakin buruk.
“Hasil pemantauan mendapati kawasan penempatan kediaman berdekatan iaitu Kampung Sitieng masih dalam keadaan selamat dan tidak terjejas, dengan lokasi kampung sejauh lima kilometer dari ladang serta terdapat aliran parit sebagai penebat kebakaran dengan jarak melebihi 1000 kaki dari jalan utama masuk ladang,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, katanya sejurus menerima laporan pada pukul 9.54 pagi Jumaat lalu, pasukan BBP Mukah segera menjalankan pemadaman menggunakan satu pam air terapung dan sumber air terbuka dari saluran parit di dalam kawasan ladang.
Bagaimanapun, katanya kebakaran masih belum dapat dipadam sepenuhnya disebabkan oleh api makin marak ditiup angin pada waktu petang.
Beliau menambah kebakaran semakin sukar dikawal disebabkan angin kencang serta pasukan bomba sukar melakukan pemadaman kerana sumber air yang cetek akibat musim kemarau yang melanda ketika ini.- KOSMO! ONLINE