PETALING JAYA – Gegaran dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia petang tadi susulan kejadian gempa bumi sederhana yang berlaku di Utara Sumatera, Indonesia.
Menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi Facebook, gempa bumi dengan kekuatan magnitud 5.9 itu berlaku pada pukul 4.57 petang dengan kedalaman 74 kilometer.
Pusat gempa dikesan pada koordinat 3.7 darjah utara dan 97.0 darjah timur iaitu kira-kira 107 kilometer tenggara dari Meulaboh, Indonesia.
“Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia. Namun, gegaran telah dirasai di kebanyakan kawasan di Pantai Barat Semenanjung,” katanya hari ini.
MetMalaysia turut meminta orang awam yang merasai gegaran berkenaan untuk mengisi borang soal selidik yang disediakan di pautan: https://forms.gle/E9ursS9Cs5KoKPt47.
“MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE