BINTANG sepak takraw berpengalaman negara, Farhan Adam tekad menamatkan karier gemilangnya dengan menjulang satu-satunya kejuaraan yang belum pernah dikecapi iaitu regu berpasukan di pentas antarabangsa.
Menggalas tanggungjawab besar selaku ketua pasukan, Farhan menyifatkan Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa ketika ini sebagai medan terbaik untuk melakar sejarah, apatah lagi skuad negara turun berjuang selaku tuan rumah.
Walaupun sedar bakal berdepan tekanan tinggi menjelang aksi menentang Thailand, Farhan yakin skuad negara akan memberi tentangan sengit.
“Memang satu sahaja saya belum capai iaitu melakar kejayaan dalam acara regu berpasukan. Itu yang paling saya idamkan.
“Tipulah kalau saya kata tiada tekanan, tapi kami ambil secara positif. Insya-Allah dengan semangat sepasukan dan doa rakyat Malaysia, kami akan turun berjuang habis-habisan,” katanya.
Farhan yang sudah meraih pelbagai kejuaraan individu mengakui, kejayaan regu berpasukan memberi makna lebih mendalam dalam kariernya.
“Saya dah capai macam-macam secara individu. Tapi kejuaraan berpasukan ini lain rasanya. Saya mahu akhiri karier dengan sesuatu yang benar-benar bermakna buat diri dan negara,” ujarnya.
Mengulas kekuatan Thailand, Farhan tetap berwaspada biarpun lawan menggugurkan beberapa tonggak utama.
“Thailand tetap pasukan yang hebat. Mereka ada pengalaman luas, pernah bermain dalam Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) dan cukup faham gaya permainan kita. Tapi kami juga sudah bersedia,” jelasnya.
Skuad sepak takraw negara membuka tirai kempen Piala Asia dengan aksi beregu dan kuadran semalam, diikuti antara regu pada 13 Mei sebelum saingan berpasukan bermula 16 Mei ini.