LONDON – Dua finalis Liga Europa, Manchester United dan Tottenham Hotspur mengalami nasib sama apabila tewas 0-2 kepada lawan masing-masing pada aksi ke 36 Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.
Pada aksi di Old Trafford, The Red Devils dimalukan oleh West Ham United di depan penyokong sendiri manakala Tottenham Hotspur turut alami kekalahan sama kepada Crystal Palace, juga di laman sendiri.
Terdahulu, Tomas Soucek memastikan West Ham United terlebih dulu berada di depan pada minit ke-26 dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Hanya 12 minit selepas babak kedua bersambung, seorang lagi bintang utama The Hammers, Jarrod Bowen terus cemerlang untuk menyambut hantaran bekas pemain Man United, Aaron Wan-Bissaka sekaligus mengesahkan kemenangan mutlak buat West Ham United.
Pada perlawanan berasingan di Stadium Tottenham Hotspur, Eberechi Eze berjaya mencuri perhatian apabila menghasilkan kedua-dua gol buat Crystal Palace.
Jaringan pertama terhasil pada penghujung separuh masa pertama sebelum Eze melengkapkan jaringan kedua perlawanan pada minit ke-48.
Sabtu ini The Red Devils dijadualkan menentang Chelsea manakala Tottenham Hotspur akan melawan Aston Villa.
Selepas itu Man United dan Tottenham Hotspur akan berkunjung ke Stadium San Mames, Bilbao untuk perhitungan final Liga Europa yang dijadualkan pada 22 Mei ini. – KOSMO! ONLINE