GEORGE TOWN – Penduduk Pulau Pinang turut merasai gegaran kecil susulan kejadian gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter di utara Sumatera, Indonesia, petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan gegaran bangunan yang berlaku di dua lokasi di George Town, kira-kira pukul 5.15 petang tadi.
“Lokasi terbabit melibatkan bangunan pangsapuri di Taman Selatan, Jelutong dan di Hotel City Bayview. Pusat Gerakan Operasi Pulau Pinang menerima panggilan gegaran dan kerja-kerja pemantauan sedang dilakukan” katanya kepada Kosmo! di sini, sebentar tadi.
Terdahulu Kosmo! melaporkan gegaran dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia petang tadi susulan kejadian gempa bumi sederhana yang berlaku di Utara Sumatera, Indonesia.
Menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi Facebook, gempa bumi dengan kekuatan magnitud 5.9 itu berlaku pada pukul 4.57 petang dengan kedalaman 74 kilometer.
Di Pulau Pinang, antara lokasi yang terkesan gegaran adalah Batu Maung, Tanjung Tokong, Sungai Pinang dan Balik Pulau, sementara di Seberang Perai melibatkan Seberang Jaya, Bertam dan Nibong Tebal. – KOSMO! ONLINE