JITRA – Rasa rindu yang mendalam kepada sekolah dan penduduk setempat di Kodiang mendorong seorang guru dari Amerika Syarikat, Lauren Chow, 32, kembali ke sini selepas hampir sembilan tahun.
Lauren pernah mengajar subjek Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Bendahara, Kodiang di sini selama dua tahun bermula 2015 menerusi program pertukaran guru antara Amerika Syarikat dan Malaysia.
Menurut Lauren yang berasal dari Boston, dua tahun bergelar orang Kodiang meninggalkan kenangan manis yang sukar dilupakan, terutama sikap penduduk yang peramah dan menganggapnya seperti orang tempatan.
“Tinggal di Kodiang dua tahun dah rasa sangat bahagia. Orang kampung sangat baik, peramah dan menerima saya. Sekarang saya balik ke kampung Kodiang untuk berjumpa dengan semua kawan lama, bekas pelajar saya dan rasa sangat bahagia di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Kem Bahasa Inggeris di Pusat Ilmu Desa Keda, Malau dekat sini semalam yang dianjurkan oleh salah seorang bekas pelajarnya.
Lebih menarik, dia yang kini menetap di Jakarta, Indonesia bagi program yang sama masih belum lupa Bahasa Melayu yang dipelajarinya ketika berada di Kodiang malah mampu bertutur dalam loghat Kedah.
Kata Lauren yang bercuti selama lima hari di sini bersama rakan, Bethany Greenbaum, 31, juga dari Amerika Syarikat, pengalaman di Kodiang bukan sahaja memperkayakan diri dalam aspek budaya, malah membantu menguasai asas Bahasa Melayu.
“Bahasa Melayu sangat berbeza daripada bahasa saya, tapi saya teruja belajar. Mula-mula saya hanya tahu ‘terima kasih’, ‘makan’ dan ‘kenyang’. Tapi masyarakat di sini sangat menyokong saya. Saya belajar daripada mereka. Sebelum meninggalkan Kodiang saya boleh bercakap Bahasa Melayu.
“Saya suka kemewahan budaya orang di Kedah dan paling suka makanannya seperti nasi lemak dan pasembor yang popular di Kodiang adalah kegemaran saya. Ketika kembali ke Kodiang ini saya ingin mencubanya kembali,” katanya.
Beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap bekas pelajarnya yang kini menunjukkan semangat tinggi dalam menimba ilmu selain ingin berbakti kepada anggota masyarakat.
“Saya terharu kerana banyak yang masih mengingati saya. Dulu saya suka naik basikal ke mana-mana sahaja termasuk ke sekolah mungkin sebab itu orang kampung mengenali saya dengan panggilan itu,” katanya.














