LIVERPOOL – Keperitan untuk memberikan ‘guard of honours’ kepada Liverpool di Anfield malam ini akan menjadikan Arsenal sebagai pasukan yang lebih baik untuk mencabar semula kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.
Pengurus The Gunners, Mikel Arteta sendiri mengakui beliau rela untuk menelan kepahitan memberi penghormatan kepada Liverpool kerana ia akan mencetuskan ‘kemarahan positif’ buat barisan pemain sekali gus boleh menjadikan pasukannya lebih baik.
“Semua ini akan mendorong dan memotivasi kami kerana ini adalah kesakitan yang amat bagus untuk dirasakan. Kami perlu gunakan segalanya untuk jadi lebih baik.
“Kami tahu bila perlu melakukan sesuatu dan kebiasaannya ‘guard of honours’ akan memberi motivasi kepada kami untuk mengharungi musim depan,” katanya.
Ini adalah kali kedua Arsenal memberikan ‘guard of honours’ kepada Liverpool selepas turut melakukan perkara sama ketika The Reds muncul juara pada 2019/2020, namun kali ini ia akan menjadi lebih perit kerana perlawanan akan berlangsung di Anfield.
Dalam masa sama, Arteta enggan terlalu memikirkan tentang rasa malu kerana beranggapan Liverpool sememangnya berhak untuk mendapat penghormatan.
“Mereka sememangnya layak kerana mereka pasukan terbaik, konsisten dan apa yang dilakukan oleh Arne Slot bersama barisan kejurulatihannya cukup hebat.
“Apabila ada pihak yang lebih baik, kami perlu menerimanya dan berikan pujian kepada mereka,” katanya. – AGENSI