KOTA BHARU – Sebanyak 60 peratus penderma darah kepada Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini setiap tahun terdiri daripada golongan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Pegawai Perubatan Unit Perubatan Transfusi HPUSM, Dr. Mohd. Amran Abdul Wahab berkata, sebanyak 12,000 pek atau liter darah diterima pihaknya menerusi program derma darah setiap tahun.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 7,200 pek darah terdiri daripada penderma yang melibatkan golongan pelajar sekolah dan IPTA.
“Golongan pelajar paling ramai menderma darah kerana mereka mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap penggunaannya untuk pesakit yang memerlukan.
“Penggunaan darah yang paling banyak adalah untuk kes pembedahan mangsa terlibat dengan kemalangan. Setakat ini, bekalan darah di HPUSM masih mencukupi dan tidak pernah terputus,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Program Khidmat Komuniti Masjid Al Falah, Ketereh di sini semalam.
Mohd. Amran memberitahu, pembedahan melibatkan satu kes mangsa kemalangan memerlukan antara 20 hingga 30 pain darah.
Menurutnya, pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini juga banyak membantu pihak HPUSM sekiranya kekurangan bekalan darah.- KOSMO! ONLINE