MIRI – Seramai 33 orang pelayan pelanggan (GRO) warga China, Vietnam dan Filipina ditahan dalam serbuan Ops Gegar di sebuah pusat karaoke (KTV) terkenal di bandar raya ini.
Turut ditahan tujuh lelaki warga Indonesia dalam operasi tersebut yang dijalankan oleh Unit Penguat Kuasa Imigresen Cawangan Miri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira pukul 10 malam kelmarin.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam satu kenyataan berkata, hasil pemeriksaan mendapati pusat hiburan itu disyaki menawarkan khidmat wanita warga asing kepada pelanggan untuk berhibur.
“Kesemua individu yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuklah menyalahgunakan Pas Lawatan (Sosial), tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Kenyataan itu menambah, kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bekenu untuk siasatan lebih lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.- KOSMO! ONLINE