PETALING JAYA – Seramai 18 individu termasuk tujuh kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terperangkap akibat fenomena kepala air ketika beriadah di Sungai Lepoh, Hulu Langat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.09 petang sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang digerakkan ke lokasi.
“Komander Operasi melaporkan terdapat 18 mangsa terdiri daripada tiga lelaki, wanita (lapan) dan kanak-kanak (tujuh) yang terkandas akibat kepala air.
“Pasukan penyelamat bertindak segera menjalankan operasi dan berjaya menyelamatkan kesemua mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan, seorang wanita turut mengalami sesak nafas telah diserahkan kepada pasukan perubatan bagi tindakan lanjut.
Ujarnya, operasi menyelamat semua mangsa selesai pada pukul 6.32 petang. – KOSMO! ONLINE