PETALING JAYA – Seluruh rakyat Malaysia diseru untuk tidak melakukan pembakaran terbuka dan sentiasa mengamalkan penggunaan air secara berhemah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, seruan itu dibuat berikutan musim Monsun Barat Daya dijangka bermula pada hari ini, 10 Mei 2025 dan akan berterusan sehingga September 2025.
Kata beliau, dalam tempoh tersebut, kebanyakan kawasan akan mengalami taburan hujan yang rendah.
“Keadaan ini boleh meningkatkan risiko berlakunya fenomena jerebu, khususnya jika pembakaran terbuka tidak dikawal. Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan sentiasa mengamalkan penggunaan air secara berhemah.
“Langkah pencegahan awal ini penting bukan sahaja untuk menjaga kesihatan awam, tetapi juga untuk melindungi alam sekitar dan menjamin kelangsungan sumber air negara,” jelas Ahmad Zahid di media sosial rasmi beliau.
Jelas beliau lagi, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) juga telah mengeluarkan kenyataan berkenaan Permulaan Monsun Barat Daya pada 7 Mei 2025 yang lalu.
“Orang ramai boleh muat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia). Juga maklumat di www.met.gov.my,” tulis beliau. – KOSMO! ONLINE.