fbpx

[VIDEO] Penunggang motosikal maut akibat kecuaian pemandu Maserati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandu Maserati yang memuat pusingan U di tempat tak sepatutnya punca kematian penunggang motosikal

ISKANDAR PUTERI – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 0.6 Lebuhraya Link Kedua, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.00 malam itu, mangsa berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, kemalangan itu berpunca daripada tindakan pemandu Singapura yang membuat pusingan U di tempat tidak sepatutnya untuk ke republik itu.

Katanya, kereta Maserati berwarna merah yang dipandu lelaki berusia 27 tahun itu melanggar pembahagi jalan tengah ketika membuat pusingan U.

“Impak pelanggaran itu menyebabkan besi penghadang jalan memasuki ke laluan bertentangan, lalu dilanggar oleh mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS.

“Akibat rempuhan tersebut, mangsa terpelanting ke bahu jalan. Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki kiri disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, kotak simpanan motosikal milik mangsa turut tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar dua motosikal lain, iaitu Yamaha MT-09 warna ungu dan Yamaha XMAX 250 warna kelabu.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua penunggang motosikal itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Keadaan menjadi tegang apabila pemandu Maserati terbabit dikatakan dipukul oleh pengguna jalan raya lain menggunakan topi keledar di lokasi kejadian.

“Polis kini menjalankan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu dan berbahaya serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” ujarnya.

Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk dibedah siasat.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5101322. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI