PETALING JAYA – Gambar seorang lelaki meratap kesedihan selepas hilang lima anak dalam tragedi tsunami di Pulau Pinang pada 2004 disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk dijadikan bahan gurauan dalam bentuk stiker di media sosial.
Menerusi perkongsian di Facebook, seorang individu bernama Syed Mohamad Nazli Syed Ahmad Jamalullail memaklumkan lelaki tersebut ialah Zulkifli Mohd Noor dari Pondok Upeh, Balik Pulau.
“Gambar itu dirakam ketika Zul berkongsi kisah duka tsunami, di mana dia kehilangan lima anak serentak. Sangat menyedihkan apabila gambarnya dalam keadaan sebegitu digunakan sesuka hati untuk tujuan bergurau,” katanya.
Menurut lelaki itu, anak-anak Zulkifli yang terkorban dalam bencana dahsyat itu ialah Siti Nurain, 17, Mohd. Shukri, 12, Siti Nur Shuhada, 10, Siti Nur Atikah, 9, dan Siti Suraya, 5.
“Hanya dua anaknya yang terselamat iaitu Siti Fairuz, 16, (ketika kejadian) dan Siti Zulaikha, setahun,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati orang ramai mengecam tindakan tidak sensitif tersebut.
“Setuju. Tiada sensitif langsung. Terlalu banyak bergurau seperti tiada akal untuk menilai mana yang wajar dan tidak,” tegur @Raihannasir.
“Siapa yang mula gunakan gambar ini sebagai ‘sticker’ dan sebarkan, bertaubatlah,” ujar @Zatihananishamsudin.
“Ambil gambar orang dan kongsi tanpa izin adalah satu perbuatan tidak beretika,” tegas @Hijrahternak. – KOSMO! ONLINE