LUMUT – Seorang remaja berusia 15 tahun ditemui lemas di Sungai Raja Hitam di Kg. Beting Luas, Changkat Keruing di Pantai Remis dekat sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dikenali sebagai Shirley Ngu Siok Yee ditemui kira-kira 1 kilometer (km) dari lokasinya jatuh semalam.
“Mangsa telah berjaya ditemui dalam keadaan terapung di tebing sungai pada jarak 1km dari lokasi terakhir dia dipercayai jatuh.
“Mayat mangsa ditemui oleh Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Changkat Keruing dan PBS Pantai Remis yang melakukan pencarian bersama menyusuri sungai kira-kira pukul 7.50 pagi,” katanya di sini hari ini.
Sabarodzi berkata, mangsa telah dibawa ke jeti menggunakan bot PBS sebelum ketua operasi mengarahkan anggota membantu mengangkat mangsa menggunakan usungan (stretcher).
Katanya, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tujuan pengesahan dan kepada pihak polis kemudiannya untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi terkawal pada pukul 8 pagi dan tamat sepenuhnya pada pukul 9.45 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE