GEORGE TOWN – Polis Daerah Timur Laut hari ini mengesahkan menerima dua laporan polis berhubung satu kejadian tular melibatkan dakwaan penganiayaan seekor kucing di Medan Selera Pasar Lebuh Cecil, di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, laporan pertama dibuat oleh seorang wanita tempatan berusia 20 tahun pada Khamis lalu kira-kira pukul 4.05 petang.
”Wanita ini mendakwa melihat seorang peniaga makanan mencekik seekor kucing pada pukul 8 pagi hari yang sama.
”Susulan dakwaan tersebut, lelaki berusia 55 tahun yang juga peniaga makanan di lokasi terbabit tampil membuat laporan polis semalam bagi menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu tular di media sosial mengenai seorang wanita mendakwa seorang peniaga di Medan Selera Pasar Lebuh Cecil, yang mengasari kucing.
Insiden ini mendapat perhatian meluas di media sosial dan mengundang reaksi daripada orang awam serta pencinta haiwan yang menggesa agar siasatan telus dijalankan terhadap kejadian tersebut.
Abdul Rozak berkata, siasatan awal telah dijalankan dan kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA) kepada pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk tindakan lanjut. -KOSMO! ONLINE