STOCKHOLM – Pengendali Chelsea, Enzo Maresca mengakui tidak sabar untuk bertemu Real Betis di pentas final selepas menyingkirkan Djurgarden 5-1 secara agregat dalam aksi separuh akhir Liga Konferens Eropah (UECL) awal pagi semalam.
Pada aksi separuh akhir kedua itu, The Blues yang meraih kemenangan 4-1 pada aksi pertama berjaya melakar kemenangan 1-0 hasil jaringan Kiernan Dewsbury-Hall untuk mengesahkan slot ke final UECL buat kali pertama dalam sejarah.
Menurut Maresca, pertemuan menentang Real Betis cukup unik kerana dikendalikan oleh jurulatih berpengaruh, Manuel Pellegrini yang merupakan ‘sifunya’ di bidang kejurulatihan.
“Saya gembira apabila kita dapat menentang Betis kerana Pellegrini sudah seperti bapa saya. Saya pernah beraksi di bawah kendaliannya ketika mewakili Malaga dan menjadi salah seorang penolong jurulatih di West Ham.
“Saya sudah faham corak taktikal yang diterapkan Pellegrini dan kini adalah masa untuk menguji taring dengannya di atas padang. Kelebihan utamanya adalah dia sentiasa memiliki hubungan baik bersama pemain,” kata Maresca.
Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Itali itu turut percaya trofi UECL adalah cukup penting untuk direbut pada penghujung musim ini sebagai bukti barisan pemain sudah memiliki mentaliti juara.
“Saya rasa ini adalah peluang untuk pasukan melakar sejarah baharu menjadi kelab pertama menjuarai semua trofi Eropah selepas mendominasi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Liga Europa sebelum ini,” katanya.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Betis berjaya menyingkirkan kelab Serie A, Fiorentina dengan keputusan 4-3 secara agregat. – AGENSI