MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengakui hanya trofi Liga Europa boleh menjadi ‘penawar’ pasukan selepas mara ke pentas final dengan menewaskan Athletic Bilbao 7-1 secara agregat awal pagi semalam.
Pada perlawanan separuh akhir kedua di Old Trafford itu, skuad The Red Devils berjaya melakar kemenangan 4-1 hasil penyudah Mason Mount (dua gol), Rasmus Hojlund dan Casemiro.
Keputusan tersebut menyaksikan United mara ke final Liga Europa buat kali pertama dalam tempoh empat tahun selepas bergelar naib juara edisi 2021 apabila tewas kepada Villarreal di pentas akhir.
Menurut Amorim, kejayaan menjulang trofi Liga Europa bukan sahaja memberi tiket ke kancah Liga Juara-Juara Eropah musim depan, malah menutup prestasi hambar yang dipamerkan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
“Saya rasa ia lebih daripada sekadar hadiah kewangan kerana trofi memberi nilai yang besar buat mana-mana pasukan terutama bagi jurulatih. Kejayaan itu akan menjadi bukti bahawa kita masih mampu menamatkan musim dengan gemilang.
“Justeru, tumpuan sekarang perlu diberikan sepenuhnya pada aksi final kerana jika kita tidak menang, segalanya seperti tidak bermakna.
“Mengenai aksi final bertemu Tottenham Hotspur, saya rasa kedua-dua pasukan akan bermain mati-matian kerana memiliki misi yang sama selepas aksi tidak konsisten di peringkat domestik,” katanya. – AGENSI