PETALING JAYA – Tindakan seorang penjual keropok lekor yang menawarkan dua harga berbeza kepada murid sekolah mencetuskan tanda tanya.
Menerusi perkongsian di Facebook oleh @Lahahmad, wanita berkenaan meluahkan rasa pelik selepas anaknya yang baru berada di tahun satu sering membeli keropok lekor dari seorang pak cik berhampiran sekolah.
“Anak cakap 3 keping RM1, 5 keping RM2. Jadi dia pilih beli RM2 sebab katanya boleh makan banyak sikit.
“Akhirnya saya ajar anak beli RM1 tapi minta dua pek dapatlah enam keping. Saiz pun sama macam sebelum ni. Dia pun cakap untung makan lebih,” katanya.
Perkongsiannya mendapat perhatian ramai yang menyifatkan peniaga seharusnya lebih jujur, terutama apabila berurusan dengan murid sekolah.
“Bahaya ini aniaya anak-anak. Pak cik tersalah ke atau saja buat ‘trick’ begitu,” kata @Normahizuramahmud.
“Dekat pasar raya sekarang ini pun ada yang dah buat taktik sebegini. Beli satu dapat tiga, beli dua dapat lima. Mungkin tak salah tapi macam ada unsur manipulasi,” kata @Noraishahabdrahmn.
“Pak cik keropok ‘scam’ budak-budak,” kata @Rossyilaradzali. – KOSMO! ONLINE