ROM – Bintang tenis Britain, Emma Raducanu memperagakan permainan terbaiknya di gelanggang tanah liat apabila mencatat kemenangan meyakinkan ke atas Jil Teichmann pada pusingan kedua Terbuka Itali semalam.
Raducanu sepatutnya bertemu pemain pilihan ke-20, Ekaterina Alexandrova, namun pemain Rusia itu menarik diri akibat kecederaan pada saat akhir.
Pemain berusia 22 tahun tersebut hanya dimaklumkan beberapa jam sebelum perlawanan bahawa lawannya ialah Teichmann sebelum berjaya menewaskan pemain dari Switzerland itu menerusi kemenangan straight set 6-2, 6-2.
“Saya masih belum selesa beraksi di gelanggang tanah liat. Disebabkan itu, saya perlu beri tumpuan lebih tinggi pada setiap mata dan pergerakan kaki agar tidak terjatuh atau mengalami kecederaan,” kata Raducanu.
Bekas juara Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2021 itu semakin selesa dengan corak permainan agresif di permukaan tanah liat sambil meningkatkan pukulan lebih agresif ke atas lawannya.
“Saya buat sedikit penyesuaian selepas Terbuka Miami dan pergerakan servis kini lebih panjang dan lancar selain saya berharap dapat menahan tekanan menjelang perlawanan yang lebih sukar,” katanya.
Raducanu kini menduduki ranking ke-49 dunia, akan berdepan Veronika Kudermetova dari Rusia di pusingan ketiga selepas rakan senegaranya, Sonay Kartal tersingkir kepada pemain Republik Czech, Linda Noskova. – AGENSI