PETALING JAYA – Seramai 25 individu dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh sewaktu dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihak Polis Antarabangsa (Interpol) juga sedang mengatur proses merakam keterangan anak mangsa.
Katanya, proses tersebut akan dilakukan di Kedutaan Malaysia di Singapura dalam masa terdekat ini.
“Setakat hari ini, seramai 25 saksi telah dirakam percakapan. Rakaman percakapan anak-anak mangsa sedang diatur oleh pihak Interpol untuk dirakam di Kedutaan Malaysia di Singapura dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, pihaknya sudah memperoleh lakaran wajah salah seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes kehilangan wanita itu.
“Hasil padanan fotofit adalah 40 peratus,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! Online melaporkan polis tidak menolak kemungkinan kes penculikan Pamela mungkin dirancang sendiri oleh wanita berkenaan.
Pamela dilaporkan hilang sewaktu dalam perjalanan untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM, Putrajaya pada pukul 1.30 tengah hari hingga 2.10 petang, 9 April lalu.-KOSMO! ONLINE