KUALA LUMPUR – Jaguh muay thai negara, Rifdean Masdor mencuri tumpuan di pentas antarabangsa selepas mencatat kemenangan menakjubkan dalam aksi ONE Friday Fights 107 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand semalam.
Rifdean yang turun berjuang dalam kategori atomweight ONE Championship hanya mengambil masa 47 saat untuk menumbangkan petarung Laos, Nongbia Lao LaneXang menerusi keputusan Technical Knockout (TKO).
Aksi yang lebih mencuri perhatian adalah tendangan terbang (flying kick) dilakukan Rifdean tepat mengenai muka lawannya, sekali gus mengubah perjalanan pertarungan tersebut dengan memberi kelebihan kepada jaguh negara menguasai gelanggang.
“Saya masih belum boleh ‘move on’ lagi, dia makan tapak kaki selepas terkena flying kick. Ini kali pertama dalam sejarah pertarungan karier saya, macam cerita kung fu.
“Apapun, perjuangan saya belum habis. Jangan terlalu awal gembira dan perlawanan seterusnya saya akan buat yang terbaik, doakan,” ujar Rifdean menerusi rakaman video yang dimuat naik di IG Story miliknya selepas perlawanan.
Ia adalah kemenangan ketiga daripada empat penampilannya di pentas ONE Championship sekali gus mengukuhkan kedudukannya antara petarung muda yang perlu diberikan perhatian.
Walaupun tidak menerima bonus seperti yang dijangkakan, Rifdean tetap bersyukur atas kemenangan diraih dan bersedia memberikan prestasi terbaik setiap kali turun beraksi
“Bukan rezeki kali ini tetapi saya yakin rezeki ada di tempat lain. Mungkin pertarungan seterusnya dia bagi kontrak atau bonus, yang penting saya menang dan selamat. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE