fbpx

Buat pengaktifan kad ATM di tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG jemaah melakukan urusan di kaunter Bank Islam TH di Abraj Al Janadriyah di Mekah baru-baru ini.

MEKAH – Jemaah haji Malaysia yang belum berlepas ke Tanah Suci disarankan mengaktifkan kad Debit-i Visa Tabung Haji (TH) di tanah air bagi memudahkan urusan pengeluaran wang di luar negara.

Pengarah Operasi Kewangan, Shamsul Bahar Shamsudin berkata, setakat Selasa lalu, Unit Kewangan Tanah Suci menerima sebanyak 374 aduan daripada jemaah.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 55 peratus atau 207 kes melibatkan pengaktifan kad ATM bagi pengeluaran di luar negara, 15 kes kehilangan kad, manakala selebihnya adalah penukaran kad, kad lama rosak, terlupa nombor PIN dan lain-lain.

“Kalau boleh semua jemaah yang masih belum berlepas ke Tanah Suci disaran aktifkan kad ATM Bank Islam TH untuk pengeluaran luar negara bagi memudahkan urusan mereka di sini.

“Bank Islam ada membuka kaunter di balai berlepas Pusat Konvensyen Movenpick KLIA, Sepang untuk membantu mereka buat pengaktifan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Dalam pada itu, ujar beliau, TH berjaya mendapatkan beberapa unit mesin pengeluaran automatik (ATM) masing-masing terletak di Abraj Al Janadriyah, Hotel Land Premium, Abraj Al Tayseer dan Rehab Al Janadriyah.

“Ini memberi kemudahan kepada jemaah mengeluarkan wang sepanjang berada di Tanah Suci.

“Mereka juga boleh mengeluarkan wang menggunakan mesin-mesin ATM di Mekah dan Madinah logo Visa menggunakan kad Bank Islam TH Visa dan tiada caj pengeluaran dikenakan,” ujarnya.

Mengulas mengenai kes kehilangan kad ATM di Tanah Suci, beliau berkata, kesemua 15 aduan tersebut telah digantikan dengan kadar segera.

“Sebab kehilangan itu mungkin tersalah letak dan sebagainya kita tidak bertanya lanjut kerana bimbang psikologi jemaah terganggu, jadi kita batalkan kad lama dan gantikan dengan yang baharu.

“Proses ini boleh dilakukan dengan pantas cuma jemaah perlu datang ke kaunter untuk urusan kerana prosesnya masih sama seperti biometrik dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, jika kehilangan berlaku semasa waktu penutupan pejabat para jemaah boleh memaklumkan maktab untuk pihak menghubungi Unit Kewangan TH.

“Bagi kes terpencil sebegini, petugas akan pergi dan bantu kerana semua petugas kewangan tinggal di hotel mereka bertugas. Jadi boleh turun lif untuk selesaikan aduan jemaah.

“Nasihat kepada jemaah agar bukan sahaja perlu menjaga kad ATM sebaiknya, tetapi kad-kad lain termasuk Nusuk. Kad-kad ini amat berharga di sini. Kita boleh ganti tetapi ia menyulitkan keadaan jemaah itu apabila perlu ke kaunter dan sebagainya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI