KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka tampil dengan idea lebih segar apabila bakal merekrut bekas pengurus Watford, Xisco Munoz sebagai pengendali baharu musim depan.
Berdasarkan laporan media di Sepanyol, Munoz pernah menyatakan hasrat untuk cuba mengembangkan karier di negara berbeza khususnya di luar Eropah.
“Saya sukakan cabaran baharu dan menyaksikan bola sepak di negara lain,” kata Munoz yang dipetik menerusi laporan relevo.
Persetujuan dilaporkan semakin hampir dinoktahkan untuk Munoz diumumkan sebagai jurulatih baharu Harimau Selatan bagi menggantikan Hector Bidoglio yang baru saja membantu pasukan itu memenangi Piala Malaysia.
Dijangkakan perkara itu akan dinoktahkan dalam masa terdekat, namun sehingga kini belum ada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh JDT
Bagaimanapun, khabar angin itu agak kukuh untuk menjadi realiti kerana bekas bintang Sepanyol yang juga legenda Liverpool, Luis Garcia kini menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif JDT.
Untuk rekod, selain Watford, Munoz juga pernah memiliki pengalaman melatih beberapa lagi pasukan seperti Dinamo Tbilisi, Sheffield Wednesday, Anorthosis dan SC Huenda. – KOSMO! ONLINE