LARUT – Sepasang suami isteri dari Kampung Bukit Sungai Nor, Rantau Panjang, Selama merayu pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengasuh anak mereka selepas bayi sulung mereka disahkan mengalami kecederaan serius di kepala.
Mangsa, Annas Sayyed, bayi lelaki berusia empat bulan, disahkan mengalami retak pada tempurung kepala serta pendarahan dalam otak ketika berada di bawah jagaan pengasuh di Kampung Bukit Salim.
Bapa mangsa, Ahmad Shamil Fadzli Salim, 30, berkata, kejadian itu disedari pada Khamis lalu kira-kira pukul 7.15 malam apabila anaknya kelihatan tidak aktif dan tidak bermaya sejurus diambil dari rumah pengasuh.
“Ketika ibu saya mahu memandikan Annas, kami dapati terdapat kesan muntah pada bajunya. Kami segera bertanya kepada pengasuh namun dia menyatakan anak kami hanya tidur lebih lama daripada kebiasaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, pasangan tersebut membawa bayi mereka ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil imbasan menunjukkan anak kami mengalami pendarahan dalam otak dan tempurung kepalanya retak. Kami amat terkejut dan segera membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan secara telus dan adil,” ujarnya.
Menurut Ahmad Shamil, anaknya baru sahaja dihantar ke rumah pengasuh itu sejak empat hari lalu memandangkan isterinya telah mula bekerja.- KOSMO! ONLINE