KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal mengadakan pertemuan terakhir bersama beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah sebaik sahaja mereka pulang dari Terbuka Thailand minggu depan dalam usaha menyelesaikan kemelut berpanjangan mengenai isu kontrak.
Timbalan Presiden 1 BAM, Datuk V. Subramaniam berkata, rundingan tersebut akan menjadi yang terakhir selepas kedua-dua pemain itu masih belum memuktamadkan tawaran yang telah diberikan badan induk tersebut.
“Kita sudah buat tawaran, tetapi mereka belum tandatangan. Malah mereka beberapa kali datang semula dengan angka berbeza. Kami tidak mahu pemain menjadikan BAM sebagai tebusan.
“Kalau perkara ini tidak ditangani dengan tegas, ia akan jadi budaya yang akan merosakkan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk sukan badminton itu hari ini.

Menurutnya, semua pemain lain telah bersetuju dan menandatangani kontrak masing-masing kecuali Pearly-Thinaah dan perkara itu sudah dibentangkan dalam mesyuarat Ahli Majlis BAM.
“Majlis telah sebulat suara bersetuju agar kita kekal dengan tawaran sedia ada tanpa sebarang perubahan.
“Mungkin minggu depan selepas mereka kembali dari Thailand, kita akan panggil untuk beri penjelasan akhir,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar jumlah pendapatan pemain didedahkan secara terbuka pada masa hadapan bagi mengelak sebarang salah faham, seiring dengan amalan profesional di peringkat antarabangsa. – KOSMO! ONLINE