KUALA LUMPUR – Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan meleburkan rekod kebangsaan acara snatch miliknya sendiri meskipun gagal menaiki podium pada Kejohanan Asia yang berlangsung di China hari ini.
Aniq yang beraksi dalam kategori bawah 61 kilogram (kg) lelaki berjaya melakukan angkatan 125kg dan 128kg sebelum mencatat rekod baharu kebangsaan 132kg ketika percubaan terakhir snatch.
Rekod terdahulu milik atlet berusia 23 tahun itu adalah 130kg yang dilakukannya ketika beraksi pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 tahun lalu.
Meskipun mencatat rekod baharu acara snatch, namun dia gagal untuk mengangkat bebanan 163kg dalam ketiga-tiga percubaan bagi acara clean and jerk, sekali gus tidak disenaraikan dalam kedudukan keseluruhan.
Pingat emas kategori itu menjadi milik atlet Korea Utara, Pak Myong Jin yang melakukan angkatan keseluruhan 306kg manakala perak dan gangsa menjadi milik dua atlet tuan rumah, Wang Hao (305kg) dan Wang Min (294kg).
Sementara itu, seorang lagi atlet negara, Aznil Bidin berdepan nasib sama bagi kategori bawah 67kg apabila hanya berjaya mengangkat 160kg dalam acara clean and jerk dan gagal mencatat sebarang angkatan untuk snatch.
Atlet Vietnam, Tran Minh Tri merangkul pingat emas acara itu menerusi angkatan keseluruhan 318kg dengan perak dimenangi atlet China, Zheng Zinhao (317kg) manakala gangsa milik Bae Moonsu (306kg) dari Korea Selatan. – KOSMO! ONLINE