KAMPAR – Lelaki warga emas yang maut dilanggar lori ketika perjalanan pulang dari masjid selepas solat Jumaat semalam, sempat menunaikan hajat bersedekah pisang yang pertama kali berbuah.
Rohaiza Mazlan 33, berkata, arwah bapanya itu membawa pisang berangan tersebut ke masjid untuk diagihkan kepada jemaah walaupun buah itu belum masak sepenuhnya.
“Pokok pisang yang abah tanam itu baru kali pertama mengeluarkan hasil, jadi dia memang sudah pasang niat untuk bawa ke masjid dan sedekah kepada orang.
“Bila kawan-kawannya tanya kenapa pisang itu belum masak, dia jawab ‘kalau tunggu masak, nanti mereka tidak merasa’. Tidak sangka itu rupa-rupanya petanda dia akan pergi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gua Sanding, Jeram di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1.58 tengah hari di Kilometer 26.5, Jalan Ipoh–Kuala Lumpur di sini, mangsa, Mazlan Ahmad, 68, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 maut dilanggar lori ketika melintas jalan dari arah Masjid Jamek Jeram di sini semalam.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah maut di lokasi kejadian.- KOSMO! ONLINE