fbpx

4 premis makanan ada najis tikus di dapur, stor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat premis makanan di Daerah Timut Laut, George Town diarah tutup serta-merta,mulai semalam.

GEORGE TOWN – Empat premis makanan di negeri ini diarah tutup serta-merta selama 14 hari selepas dikatakan gagal mengendalikan tahap kebersihan termasuk penemuan najis tikus di kawasan stor, dapur dan tempat penyimpanan makanan beku.

Tindakan itu diambil hasil operasi bersepadu yang dijalankan malam tadi oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi Jabatan Pelesenan dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa lain.

Operasi tersebut turut disertai pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan daerah Timur Laut.

Jurucakap MBPP berkata, kesemua premis terbabit dikenakan penutupan selama dua minggu berkuat kuasa hari ini hingga 22 Mei 2025 mengikut Undang-Undang Kecil 38(1), Undang-Undang Kecil (Establisymen Makanan) MPPP 1991.

“Pemeriksaan mendapati kebersihan premis berada di bawah standard yang ditetapkan dan penemuan najis tikus menimbulkan risiko kesihatan kepada pengguna,” katanya di sini hari ini.

Katanya, operasi tersebut memberi fokus kepada pematuhan syarat lesen perniagaan, kebersihan premis, pematuhan pengendali makanan, larangan merokok serta keperluan permit dan percukaian.

“KPDN pula telah mengeluarkan empat kompaun berjumlah RM1,900 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Selain itu KKM telah mengeluarkan dua notis melibatkan kesalahan pelanggan merokok di premis makanan dengan jumlah keseluruhan denda RM500,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI