SERDANG – Seramai 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi di sebuah bangunan terbengkalai yang dijadikan penempatan haram sejak lima tahun lalu di Seri Kembangan, di sini semalam.
Jabatan Imigresen (JIM) berkata, dalam operasi berkenaan, seramai 73 warga asing diperiksa dan 33 daripada mereka yang berusia 25 hingga 60 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan India,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut JIM, kumpulan warga asing tersebut dipercayai memperoleh sumber bekalan air dan elektrik dengan melakukan penyambungan secara haram.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung kehadiran PATI yang menghuni premis berkenaan.
“Kesemua warga asing tersebut ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966.
“Mereka ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. -KOSMO ONLINE