fbpx

Wanita hadap 28 pertuduhan tipu ejen pembekal pita pelekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Puvaneswari (tengah) ketika tiba di Kompleks Mahkamah Butterworth, hari ini.

SEBERANG PERAI – Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 28 pertuduhan menipu seorang ejen pembekal pita pelekat untuk menyerahkan komisen berjumlah RM172,985.

Tertuduh, A. Puvanesvari, 51, walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Berdasarkan pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa telah memperdayakan seorang lelaki yang juga ejen kepada sebuah syarikat pembekal pita pelekat kononnya wujud projek pembekalan barangan tersebut sekali gus mendorongnya menyerahkan wang komisen antara RM1,000 hingga RM19,500.

Wang terbabit diserahkan ejen menerusi 28 transaksi ke empat akaun bank berbeza yang dikawal oleh tertuduh antara 26 April hingga 24 Jun tahun lalu di sebuah apartmen di Jalan Bagan Jermal di sini.

Pendakwaan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Teh See Khoon memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya yang kini menganggur memiliki tiga orang anak berumur 13 hingga 19 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Jun depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI