KULAI – Siasatan awal polis punca kemalangan meragut nyawa dua beranak di Kilometer 34.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Sedenak di sini malam semalam berpunca daripada treler membawa kontena muatan timah hilang kawalan.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, treler yang dipandu lelaki berusia 39 tahun dari arah utara menuju ke arah Johor Bahru melanggar sebuah Toyota Hilux dari arah sama.
Menurutnya, treler berkenaan terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Mazda 5.
“Akibat dari kemalangan tersebut, dua penumpang motokar jenis Toyota Estima merupakan ibu dan anak yang berumur 42 tahun dan 15 tahun telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu bersama dua lagi penumpang yang merupakan bapa dan anak masing-masing berusia 42 tahun dan 18 tahun mengalami kecederaan ringan dan sedang menerima rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Seng Lee berkata, pemandu treler mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan sedang menerima rawatan di hospital sama.
Manakala, lima mangsa yang menaiki Toyota Hilux termasuk tiga kanak-kanak perempuan dan enam lagi mangsa yang menaiki Mazda 5 terselamat.
Beliau berkata, punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE