PARIS – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui pasukannya tidak layak tersingkir daripada kempen Liga Juara-Juara (UCL) selepas tewas agregat 1-3 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi separuh akhir awal pagi semalam.
Keputusan tersebut menyaksikan impian Arsenal untuk menjulang trofi pada musim ini tidak kesampaian sekali gus meneruskan kemarau trofi yang kali terakhir dimenangi pada 2020.
Kata Arteta, pujian wajar diberikan kepada pemain kerana mendominasi perlawanan untuk bangkit daripada ketinggalan 0-1, tetapi penyudah yang tumpul meranapkan impian pasukan untuk melangkah ke final.
“Saya percaya kita adalah pasukan terbaik dalam saingan UCL musim ini, tetapi malangnya, kita tersingkir. Jika dilihat dua aksi separuh akhir kali ini, pemain terbaik perlawanan adalah penjaga gol lawan, Gianluigi Donnarumma.
“Kelebihan mereka adalah penyudah yang tajam dan kemenangan dalam UCL ditentukan dengan jumlah jaringan. Apa yang pasti, saya masih bangga dengan peningkatan yang dipamerkan oleh pemain,” katanya.
Sementara itu, kapten Arsenal, Martin Odegaard percaya rakan-rakan sepasukan sudah memberikan tentangan sengit ke atas PSG dengan mencipta banyak peluang untuk bangkit mengikat perlawanan.
“Kita mendominasi perlawanan tetapi kelemahan paling ketara adalah jentera serangan. Pujian wajar diberikan kepada penjaga gol mereka untuk menafikan semua peluang keemasan yang kita cipta kali ini,” katanya. – AGENSI