KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Chan Wen Tse menjadi wakil tunggal Malaysia pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan selepas mengesahkan slot ke separuh akhir.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Taipei Arena hari ini, pasangan yang baru digandingkan itu mencatat kemenangan 22-20, 21-10 ke atas beregu Indonesia, Bobby Setiabudi-Melati Daeva Oktavianti.
Meskipun ia merupakan kejohanan sulung disertai Tang Jie-Wen Tse, namun kedua-dua pemain itu mempamerkan persefahaman cukup tinggi di atas gelanggang sebelum memastikan kemenangan dalam tempoh 28 minit.
Menjelang aksi separuh akhir esok, Tang Jie-Wen Tse dijadualkan bertemu satu lagi pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu yang menewaskan wakil tuan rumah, Ye Hong Wei-Nicole Chan 21-16, 21-16.
Sementara itu, tiga lagi wakil negara seperti perseorangan lelaki, Justin Hoh, K. Letshanaa (perseorangan wanita) dan Loo Bing Kun-Toh Ee Wei tersekat di suku akhir selepas tewas kepada lawan masing-masing.
Justin terpaksa akur dengan kekalahan 13-21, 15-21 kepada pemain Taiwan, Wang Tzu Wei manakala Letshanaa gagal mengatasi pilihan kedua dari Korea Selatan, Sim Yu Jin apabila tewas 16-21, 21-13, 15-21.
Bing Kun-Ee Wei pula sudah mengeluarkan segala-galanya ketika bertemu pasangan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Siti Fadia Silva, namun tewas dalam aksi tiga set 22-20, 17-21, 12-21. – KOSMO! ONLINE