PUTRAJAYA – Struktur haram di tanah yang diwartakan sebagai tapak masjid Dengkil dirobohkan Pejabat Daerah dan Tanah Sepang (PDT) Sepang dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan semalam.
Menerusi kenyataan PDT Sepang memaklumkan, operasi itu membabitkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).
Sebelum ini, penduduk menggesa JAIS mengambil tindakan dengan membina pagar di kawasan tanah yang sudah diwartakan sebagai tapak pembinaan masjid itu bagi mengelak ia diceroboh.
Difahamkan, peruntukan bagi pembinaan masjid itu sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Pada April lalu JAIS telah mengeluarkan surat arahan menetapkan tempoh 30 hari kepada pihak yang terbabit untuk mengosongkan kawasan tersebut.
Menurut Pengarah JAIS, Mohd. Shahzihan Ahmad, tindakan tegas akan diambil sekiranya kawasan itu tidak dikosongkan dalam tempoh ditetapkan. – KOSMO! ONLINE