fbpx

Proses pemulihan bekas ahli GISBH menyeluruh bukan tajwid sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hantaran yang tular di media sosial berkaitan pemulihan ahli GISBH hanya tertumpu kepada pengajian tajwid sahaja.

SHAH ALAM – Program pemulihan terhadap bekas ahli GISB Holding (GISBH) adalah menyeluruh dan bukan sahaja melibatkan pengajian tajwid seperti ditularkan di media sosial.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Dr. Ahmad Shahir Makhtar berkata, MAIS melalui Mesyuarat Jawatankuasa Riqab pada 4 Februari lalu telah meluluskan program pemulihan akidah menerusi Program Insan Rabbani sejajar dengan fatwa Selangor yang diwartakan pada 16 Oktober tahun lalu.

Katanya, berdasarkan fatwa itu fahaman, ajaran atau amalan ahli GISBH dan rangkaiannya menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah.

“Program itu dilaksanakan setiap hari Ahad sebanyak 24 siri selama empat jam di empat lokasi iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Country Homes, Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, SRA Sijangkang, Kuala Langat, dan SRA Sungai Kantan, Kajang.

“Seramai 51 guru bertauliah terlibat dalam program ini dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor bermula 15 Februari hingga Ogos tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pengisian program merujuk kepada Modul Istitabah yang telah diluluskan oleh MAIS pada 2013 dengan memberi fokus kepada pengajian ilmu al-Quran, akidah, tasawuf dan fikah kepada individu dewasa bekas ahli GISBH.

Katanya, Modul Pendidikan Insani JAIS digunakan untuk kanak-kanak bekas ahli GISBH bagi membentuk keperibadian dan mengembangkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh serta bersepadu berlandaskan wahyu Allah dan sunnah Rasulullah S.A.W dengan pengisian akidah, ibadah, serta akhlak.

Justeru, beliau menegaskan, hantaran di media sosial itu adalah tidak berasas dan tidak tepat.

“MAIS mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan fakta sebenar sebelum mengeluarkan kenyataan atau tohmahan terhadap MAIS bagi mengelakkan sebarang kekeliruan kepada umat Islam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI