MELAKA – Polis memburu seorang ahli sindiket kes curi kabel dikenali sebagai ‘Kecik’ yang sebelum ini lolos dalam aksi mengejar di Kilometer 216.8 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan), Selasa lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihak polis telahpun mengenal pasti identiti suspek sebagai G. Deneshwaran, 25, yang berasal dari Teluk Intan, Perak.
“Kita dah dapat segala bukti dan maklumat suspek dikenali Kecik, dia akan dapat ditangkap dalam tempoh terdekat selepas gambarnya diedarkan sebagai orang buruan polis.
“Pesanan saya kepada Kecik, kalau rasa nak serah diri, serah diri cepat,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Kursus Asas Light Strike Force Siri 1/2025 Kontinjen Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! pada Selasa lalu melaporkan dua lelaki disyaki ahli sindiket curi kabel bertindak memandu secara melawan arus di Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) sehingga merempuh empat kenderaan lain selepas dikejar unit kereta peronda (MPV).
Dalam kejadian pada pukul 5.30 pagi itu, pemandu berusia 29 tahun beralamat di Teluk Intan, Perak berjaya diberkas, manakala rakan sejenayahnya berjaya melarikan diri ke seberang jalan lebuh raya.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, hasil siasatan, kenderaan pacuan empat roda (4X4) digunakan merupakan kenderaan sewa dan suspek telah menginap di hotel bajet sepanjang melakukan jenayah itu di negeri ini. – KOSMO! ONLINE