KUALA LUMPUR – Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menarik nafas lega selepas hanya Pakistan menarik diri daripada menyertai kejohanan Piala Asia yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa bermula esok.
Pakistan yang sepatutnya beraksi pada penganjuran sulung itu terpaksa menarik diri daripada beraksi selepas pergolakan antara negara tersebut dengan India akibat peperangan yang meletus.
Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, beliau bagaimanapun tidak begitu terkesan memandangkan hanya Pakistan yang menarik diri, sekali gus menyaksikan saingan kini berbaki 13 pasukan.
“Sedikit lega kerana satu pasukan sahaja (menarik diri). Sebenarnya, saya risau kerana bimbang kedua-dua pasukan (Pakistan dan India) menarik diri tetapi India sudah sampai semalam.
“Pakistan memang sudah menghubungi kita dua hari sebelum ini dan mereka sudah berusaha untuk datang ke sini. Setiausaha Persatuan Takraw Pakistan sahaja yang sudah ada di sini,” katanya pada majlis Perasmian Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang hadir bagi menyempurnakan majlis tersebut.
Terdahulu, Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader mengesahkan Pakistan menarik diri selepas lapangan terbang antarabangsa di Islamabad ditutup akibat ancaman daripada tentera India.
Sementara itu, Hannah menyatakan sokongan kepada PSM bagi menganjurkan kejohanan Piala Dunia tahun depan yang bakal melibatkan pasukan wanita buat pertama kali dalam sejarah penganjuran.
“Seperti saya maklumkan kepada semua persatuan sukan untuk memastikan mereka jangan pilih kasih supaya peluang, peruntukan, pendedahan diberi buat mereka (pasukan wanita) juga,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE