PETALING JAYA – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta untuk memperkukuhkan perlindungan terhadap 560 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH)
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perlindungan bersepadu itu antaranya membantu pemulihan rohani, pembangunan jati diri dan advokasi keibubapaan demi memastikan masa depan mereka lebih terjamin.
Menurut beliau, perkara tersebut dicapai pada Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bil. 1 Tahun 2025 yang dipengerusikan oleh beliau hari ini untuk memperkukuh dasar sosial negara secara menyeluruh.
“Mesyuarat telah membuat beberapa keputusan penting antaranya penubuhan Jawatankuasa Khas untuk menyelaras pendidikan prasekolah Islam agar penyampaian pendidikan awal kanak-kanak menjadi lebih tersusun, berkualiti dan selamat.
“Mesyuarat juga bersetuju untuk menubuhkan satu pasukan ‘task force’ untuk menangani kebejatan sosial dalam kalangan pelajar tercicir termasuk penyalahgunaan dadah dan cabaran sosial lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid berkata, mesyuarat turut bersetuju untuk membina sistem penjagaan jangka panjang bagi warga emas menjelang status Malaysia sebagai negara menua pada tahun 2030.
Jelas beliau, langkah itu bukan sahaja untuk menghormati martabat mereka, tetapi juga memastikan sistem sokongan sosial negara kekal mampan untuk masa depan.
“Saya percaya, segala usaha ini hanya akan berjaya jika disatukan tenaga semua termasuk kerajaan, swasta, NGO, dan masyarakat sivil dalam semangat “whole-of-nation”
“Insya-Allah, dengan iltizam bersama, kita mampu membina negara yang lebih sejahtera untuk generasi hari ini dan akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE