KLUANG – Seorang pengasuh sebuah taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera seorang bayi berusia lima bulan, bulan lalu.
Tertuduh, Amirah Hajirah Mohd Farid, 20, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Osman Afffendi Mohd Shalleh.
Amirah dituduh telah mendedahkan kanak-kanak berusia lima bulan dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal pada 8 April lalu kira-kira pukul 8.30 malam hingga 9 April pukul 7 pagi di sebuah taska di kuarters Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan hendaklah melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
13 Jun ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula serta serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE