SUNGAI BULOH – Wanita yang terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Bukit Subang berhampiran susur Lebuh Raya Guthrie di sini, kelmarin dilaporkan baru sahaja meninggal dunia.
Perkara tersebut disahkan oleh ibu saudara mangsa, Cik Ah, 56, ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Cik Ah berkata, mangsa, Norfazlin, 29, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh selepas bertarung nyawa sejak dimasukkan ke hospital, semalam.
Dia berkata, impak daripada kemalangan itu juga, bayi berusia lima bulan dalam kandungan Norfazlin tidak dapat diselamatkan.
Ujarnya, bayi tersebut telah dikeluarkan menerusi satu pembedahan dan selamat dikebumikan di Kampung Gajah, Perak, semalam.
Menurut Cik Ah, ketika kejadian, Norfazlin bersama suami, Mohammad Alif, 30, bersama anak sulung mereka, Afina, 3, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Kuala Selangor setelah melakukan pemeriksaan kesihatan di Bestari Jaya.
Ujarnya, kenderaan jenis Saga BLM dipandu Mohammad Alif manakala isteri berada di bahagian penumpang sebelah kiri serta anak berada di dalam ‘car seat’ di tempat duduk belakang.
“Norfazlin mempunyai masalah jantung lemah dan sedang memakai alat perentak jantung untuk memantau keadaan kesihatannya.
“Masa kejadian, Norfazlin baru balik dari hospital menukar bateri alat perentak jantung dia,” katanya.
Cik Ah berkata, keadaan Norfazlin sebelum ini sangat parah sehingga perlu berdepan dengan beberapa pembedahan.
“Norfazlin berdepan dengan dua kali pembedahan, pertama untuk keluarkan bayi yang kedua kerana terdapat pendarahan dalaman.
“Keadaan Norfazlin sangat parah kerana mengalami rahim pecah, selain itu tengkuk dan tulang rusuk Norfazlin juga patah,” katanya.
Dalam pada itu, Cik Ah berkata, anak sulung Norfazlin pula mengalami patah kaki selain pendarahan di mulut akibat pipi berlubang, namun kini dilaporkan stabil.
“Suaminya yang bekerja sebagai polis bantuan pula menerima lebih 100 jahitan di mulut. Bagaimanapun, telah keluar hospital pagi tadi,” katanya.
Semalam media melaporkan seorang wanita dan anaknya cedera parah dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Bukit Subang berhampiran susur Lebuh Raya Guthrie di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sekitar pukul 1.20 tengah hari.
“Siasatan awal menerusi rakaman video papan pemuka mendapati sebuah lori dari arah Batu Arang menghala ke Cyberjaya dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu melanggar kereta Proton Saga BLM dinaiki mangsa.
“Pelanggaran turut melibatkan dua kereta serta sebuah van dan kenderaan pelbagai guna (MPV),” katanya dalam kenyataan semalam. – KOSMO! ONLINE