KAJANG – Lima lelaki bertindak licik dengan sebahagian mereka menyamar sebagai anggota polis ketika menyamun sebuah rumah di Semenyih pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian rompakan pada pukul 5.02 pagi itu menyebabkan mangsa yang juga pesara berusia 55 tahun mengalami kerugian sebanyak RM9,000.
Katanya, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, dua suspek memakai pelitup muka, manakala dua lagi memakai ‘vest’ polis.
“Keempat-empat mereka masuk ke dalam rumah mangsa yang tinggal bersama tiga ahli keluarganya, dengan cara memecah masuk pintu hadapan rumah.
“Seorang lagi suspek dilihat tunggu di dalam kereta. Beberapa barang kemas, dua buah telefon bimbit dan wang tunai lebih kurang RM500 dilarikan dalam kejadian tersebut,” katanya.
Naazron berkata, setakat ini masih belum ada tangkapan melibatkan kejadian samun tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar sebagai anggota polis.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758. – KOSMO ONLINE