KUALA LUMPUR – Mayat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui berhampiran dengan Restoran Kawanku Tomyam di Jalan Klang Lama, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfirelds, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar pukul 2.05 petang.
Menurutnya, saksi menyatakan telah ternampak objek seperti mayat yang tersangkut pada batu ketika berada di restoran terbabit sebelum menghubungi pihak polis.
“Sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh yang berada di lokasi kejadian telah membantu mengangkat naik jasad bayi itu.
“Hasil siasatan mendapati jasad tersebut merupakan bayi lelaki dan masih bertali pusat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ku Mashariman berkata, mayat bayi berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk tujuan bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat dengan sulit. – KOSMO! ONLINE